KEKECEWAAN jelas terpancar di wajah pengetua Akademi Fantasia 8 (AF8), Norman Abdul Halim, sebaik Alif diumumkan tersingkir dari gelanggang AF8.
Kelihatan Norman menggeleng-gelengkan kepalanya sewaktu pengacara program, Sarimah Ibrahim membacakan keputusan itu menerusi program Debaran AF8 yang dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria, Ahad lalu. Bagi Norman, Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Kadim, 19, antara peserta yang mempunyai potensi melangkah ke final.
"Penyingkiran ini bukan penghujung kariernya kerana saya pasti pihak AESB (Astro Entrertainment Sdn Bhd) mempunyai rancangan jangka panjang untuk peserta AF8," katanya ditemui dalam sidang media selepas Debaran AF8 berakhir.
Apapun, Norman tidak pasti sama ada suntikan elemen dangdut dalam lagu Hanya Di Radio yang dipopularkan kumpulan Headwind menjadi punca sehingga Alif tersingkir. "Alif bertemu saya di bilik pengetua menyatakan kebimbangannya untuk membawakan lagu itu dalam versi dangdut. Namun, selepas meyakinkannya dan memaklumkan alasan di sebalik perubahan yang dilakukan, dia akhirnya menyahut cabaran itu dan membawanya dengan baik "Mungkinkah disebabkan perubahan lagu itu punca Alif tersingkir kerana penonton tidak dapat terima sehingga memberi kesan pada undiannya.
"Sebenarnya perubahan dilakukan untuk mencari kelainan dan mewarnai pentas. Ia adalah keputusan kolektif daripada produksi dan tenaga pengajar.
"Seperti kata Aznil, kalau ikutkan irama dangdut senang untuk mendapat sorak peminat tetapi mungkin malam ini bukan rezekinya," katanya.
Tiga peserta yang sudah meninggalkan AF8 sebelum ini ialah Muhammed Shahril Mohs Saleh Hussein (Shah), 26; Erma Suhaimi (Erma), 21, dan Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum) Anum, 19.
Lapan pelajar masih bersaing empat perempuan dan empat lelaki iaitu Nadiawati Ainul Basir atau Ain, 23; Siti Adira Suhaimi atau Adira, 19, dari Sabah; Zafarina Jamhari atau Farina, 28 (Sarawak) dan Nadia Emilia Roselan atau Nad, 21 (Selangor).
Pelajar lelaki, Muhd Shahril Firdaus El atau Daus, 22 (Sarawak); Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 21 (Perak); Emirza Awan Zulazrin Chew atau Iwan, 20, (Negeri Sembilan) dan Muhd Firdaus Maulana Mohamed atau Mulana, 22 dari Johor. Keputusan kedudukan pelajar yang diperoleh sebaik Debaran AF8 menyaksikan Adira berada di kedudukan teratas dengan jumlah peratusan 15.17 manakala, Shahir (13.24), Maulana (11.03), Daus (10.75), Ain (10.62), Nat (10.07), Iwan (9.99) dan Farina 9.66 peratus.
Sementara itu, Alif mengakui sudah dapat menjangkakan persembahan pada konsert minggu keempat itu mendapat kritikan. Katanya, dari awal lagi dia sudah dapat jangka penonton mahupun pengkritik tidak menyukai persembahannya kerana perubahan lagu itu.
"Sebab itu saya bertemu pengetua untuk membincangkan hal ini. Namun, selepas diberi penerangan dan diyakinkan, saya menyahut cabaran itu dan sudah sedaya upaya memberikan persembahan terbaik.
"Saya akur dengan keputusan malam ini walaupun tidak menjangka akan meninggalkan pentas AF seawal ini. Sasaran saya untuk ke final," katanya.
Mengenai perancangannya selepas ini, Alif berkata, dia mahu kembali ke kuliah untuk menyambung semula pengajian Diploma Muzik & Vokal di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara). Bagaimanapun, hal itu harus dibincangkan terlebih dulu dengan pihak Astro.
suorce : Harian Metro, 14/4/2010